PETALING JAYA: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menerima suntikan dana Geran Padanan Sukan (GPS) bernilai RM825,000 bagi penganjuran siri terakhir Piala Dunia Berbasikal Trek di Velodrom Nilai dari 24 hingga 26 April ini.
Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, sumbangan dana tersebut membuktikan keprihatinan dan sokongan berterusan kerajaan terhadap sukan berbasikal negara.
“Secara peribadi, bagi pihak PKBM, saya sangat berterima kasih kepada kerajaan khususnya KBS (Kementerian Belia dan Sukan). Sumbangan dana GPS bernilai RM825,000 ini pasti meringankan beban PKBM.
“Begitu juga saya sangat berterima kasih kepada Dr Mohammed Taufiq Johari (Menteri Belia dan Sukan) dan KSU (Ketua Setiausaha KBS, Datuk Rahimi Ismail) kerana telah membantu PKBM,” katanya.
Katanya lagi, PKBM komited untuk bekerjasama rapat dengan KBS, Majlis Sukan Negara (MSN) dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan kejohanan ini berjalan lancar dan mencapai standard tertinggi yang ditetapkan oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
“Dengan sokongan padu kerajaan dan agensi-agensi berkaitan, kami yakin Malaysia akan sekali lagi membuktikan keupayaan sebagai penganjur bertaraf dunia dan seterusnya memperkukuh kedudukan negara dalam arena berbasikal global,” katanya.
Sebanyak 46 negara telah mengesahkan penyertaan pada siri terakhir Piala Dunia Berbasikal Trek sekali gus menjadikan ia kejohanan paling banyak menarik penyertaan.
Antara pelumba tersohor yang telah mengesahkan penyertaan termasuk juara Sukan Olimpik lima kali, Harrie Lavreysen dari Belanda, Nicholas Paul (Trinidad & Tobago), Sebastien Vigier (Perancis), Luca Spiegel (Jerman) dan Danial Staniszewski (Poland). –UTUSAN









