Katil tidak cukup, pesakit kongsi tangki oksigen - Utusan Malaysia

Katil tidak cukup, pesakit kongsi tangki oksigen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang doktor yang dipercayai berkhidmat di Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Kuala Lumpur mendedahkan bahawa mereka sebenarnya sudah tidak mampu untuk menampung pesakit baharu.

Dalam catatannya di media sosial, beliau berkata, perkara itu berlaku disebabkan bilangan pesakit terlalu ramai sehingga ada yang terpaksa menunggu lama untuk dirawat.

“Dengan jumlah pesakit di hospital sekarang, kami tidak mempunyai katil yang mencukupi, semua katil kanvas pun sudah penuh, pesakit terpaksa menunggu di atas kerusi dan kerusi roda sahaja,” katanya.

Bukan itu sahaja, mereka terpaksa melakukan bantuan pernafasan (CPR) di atas lantai kerana tidak cukup katil.

Malah, beliau berkata terdapat kira-kira 111 pesakit yang terkandas di Jabatan Kecemasan kerana wad semuanya sudah penuh, dengan 15 pesakit menggunakan alat bantuan pernafasan, dan 40 daripadanya merupakan pesakit positif Covid-19.

“Wad Covid-19 penuh, wad lain pun penuh. Semua pesakit terkandas dan kita masih mempunyai ramai pesakit baharu.

“Sebilangan pesakit perlu berkongsi tangki oksigen mereka dengan pesakit lain kerana tangki sedia ada tidak mencukupi untuk semua pesakit,” katanya.

Justeru, beliau meminta orang ramai berdoa supaya pandemik Covid-19 segera berakhir.

“Mari berjuang bersama, semua kakitangan kesihatan memerlukan sokongan dari kalian, kita hampir tidak berdaya lagi, cukup letih. Mari berdoa bersama Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya