JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan menubuhkan sebuah jawatan kuasa khas bagi meneliti aduan Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham) dan seluruh komuniti perniagaan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan sepanjang Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, jawatan kuasa khas itu berperanan mengenal pasti punca dan langkah yang boleh diambil untuk membantu pelabur khususnya syarikat multinasional menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam tempoh Fasa Satu PPN.
Katanya, ini ekoran hasil perbincangan yang dibuat dengan pihak industri dan EuroCham, ada antaranya yang keliru dengan pelaksanaan SOP yang tidak seragam.
“Saya telah berbincang dengan pihak industri dan EuroCham yang menyuarakan beberapa perkara termasuk SOP yang dikuatkuasakan tidak seragam. Oleh itu, kita akan membantu agar tidak berlaku kekeliruan di peringkat penguatkuasaan.
“Jadi, jawatan kuasa khas ini akan memainkan peranan mengenal pasti apa jua masalah yang mereka hadapi itu dan kita akan carikan jalan penyelesaiannya,” katanya selepas menyerahkan tiga mesin ventilasi kepada Jabatan Kesihatan Negeri Johor di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini hari ini.
Bulan lalu, EuroCham yakin PPN yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu mempercepat pemulihan ekonomi negara pasca pandemik Covid-19.
Timbalan Pengerusi EuroCham, Luciano Pezzotta berkata, dengan strategi yang baik, Malaysia mampu pulih sekali gus mengukuhkan ekonomi dan perdagangannya.
Katanya, bantuan sokongan kewangan yang menyeluruh bagi perniagaan tempatan dan asing di Malaysia masih diperlukan untuk tahun ini sebelum dikurangkan secara beransur-ansur pada tahun depan. – UTUSAN ONLINE










