Jangan terlalu fokus polemik Kempen Bendera Putih  - Utusan Malaysia

Jangan terlalu fokus polemik Kempen Bendera Putih 

TUAN KAMARUL ARIEF Soh (kiri) dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim, Muhammad Zikri Zulkifli (dua dari kiri) menyampaikan bantuan dalam  Program Dapur Yadim di Masjid Hashim Yahya, Jalan Perak, Georgetown, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Semua pihak dinasihatkan tidak terlalu memberi fokus kepada polemik dan pertikaian mengenai Kempen Bendera Putih yang dimulakan oleh rakyat, sebaliknya terus bergerak menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukannya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, pada masa ini semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi kerajaan perlu digerakkan bagi tujuan itu sama ada dalam kalangan mereka yang menaikkan bendera putih atau sebaliknya. 

“Jangan jadikan kempen ini satu polemik, daripada kita cari titik perbezaan pada masa yang genting ini, adalah lebih baik kita sepakat salurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan. 

“Kita perlu pastikan tidak ada rakyat yang terputus bekalan makanan dan adalah menjadi tanggungjawab semua agensi termasuk NGO bergerak menyalurkan bantuan kepada mereka yang terjejas,” katanya selepas menyampaikan bantuan Program Dapur Yadim di Masjid Hashim Yahya, Jalan Perak, di sini hari ini. 

Dalam majlis itu, Yadim menyampaikan pek makanan kepada 60 keluarga yang memerlukan bantuan terutama mereka yang terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ketika ini. 

Sebelum ini, satu kempen mengajak orang ramai mengibarkan bendera berwarna putih sekiranya memerlukan bantuan tular dalam pelbagai platform media sosial sejak Isnin lalu. 

Menurut Tuan Kamarul Arief, ketika PKP 1.0, Yadim telah menyalurkan bantuan dalam bentuk pek makanan, sumbangan peralatan, pasukan sanitasi dan sebagainya sebanyak RM1 juta, manakala pada PKP 2.0 sebanyak RM1.2 juta bantuan telah disalurkan kepada mereka yang memerlukan. 

“Pada PKP 3.0 ini pula, pihak kami sasarkan untuk sampaikan bantuan kira-kira RM1.5 juta memandangkan kali ini lebih ramai yang terkesan dari segi ekonomi,” katanya. 

Dalam pada itu katanya, Yadim juga telah menggerakkan 10,000 sukarelawan termasuk ahli kariah masjid untuk menjadi mata dan telinga rakyat yang berada dalam kesusahan. 

“Kami percaya selain menjadi institusi ibadah,  masjid juga dapat menjadi ejen penyaluran bantuan yang terbaik kepada masyarakat. 

“Yadim sendiri setiap minggu bekerjasama dengan institusi masjid untuk menyalurkan pek bantuan makanan kepada 60 keluarga yang telah dikenal pasti memerlukan bantuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya