Jangan salahkan Kerajaan PN isu doktor kontrak - Utusan Malaysia

Jangan salahkan Kerajaan PN isu doktor kontrak

MOHD. MAZRI YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Isu melibatkan doktor kontrak yang timbul di negara ini bukan masalah baharu dicipta oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mentadbir pada hari ini.

Pengerusi Lajnah Kesihatan Pas Pusat, Prof. Madya Dr. Mohd. Mazri Yahya yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Johor berkata, sebaliknya ia adalah satu masalah yang timbul akibat kesilapan perancangan kerajaan terdahulu sejak 20 tahun lalu di bawah Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Keobsesan kerajaan yang memerintah pada waktu itu dengan nisbah doktor kepada populasi setaraf dunia maju menyebabkan agenda menghasilkan doktor dengan cepat telah menjadi agenda negara sehingga terlahir fakulti perubatan yang terlalu banyak.

“Natijahnya, disebabkan terlalu ramai graduan perubatan dan pada masa yang sama penjawatan kekal doktor siswazah di Kementerian Kesihatan terhad, maka diperkenal satu sistem penjawatan kontrak pada Disember 2016 di bawah kepimpinan Perdana Menteri Malaysia ke-6, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

“Ketika ia diperkenal, tiada mogok dilancarkan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan atau mana-mana parti politik atau doktor-doktor yang menandatangani perjanjian penerimaan jawatan kontrak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

Sebelum ini, sekumpulan doktor kontrak yang berkhidmat dengan kerajaan mahu meneruskan rancangan mereka untuk mengadakan hartal pada esok hari selepas Putrajaya belum menyatakan tawaran bagi mengambil mereka sebagai kakitangan awam bertaraf tetap.

Sementara itu, menurut Mohd. Mazri, sepanjang lima tahun tempoh kontrak tersebut, tiada usaha dilakukan sama ada oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang berakhir pada 2018 atau oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir pada 2020.

“Tiada desakan daripada awal sehinggalah di akhir 2020. Pas menyedari masalah doktor kontrak ini. Beban kesalahan bukanlah di pihak doktor kontrak dan bukan juga di bawah kerajaan pada hari ini.

“Namun Pas mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas pengumuman rasmi kerajaan pada 23 Julai yang menyatakan komitmen kerajaan untuk mengatasi masalah doktor kontrak tersebut dengan reformasi menyeluruh perkhidmatan kesihatan negara.

“Komitmen yang tidak pernah dilakukan oleh kedua-dua kerajaan sebelum ini. Pengumuman Perdana Menteri telah merapatkan jurang di antara doktor kontrak dan doktor tetap dan yang berbeza hanya pada namanya sahaja,” ujarnya

Sehubungan itu, beliau memberitahu tiada lagi keperluan bagi Gabungan Doktor Kontrak meneruskan niat Hartal mereka apabila semua permintaan dipenuhi serta jaminan dan komitmen untuk merubah sistem kesihatan telah diberi.

Sebaliknya beliau berkata, ini adalah masa untuk bersama-sama menghadapi pandemik Covid-19 yang semakin kritikal dan masa terbaik mereformasi perkhidmatan kesihatan di Malaysia. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.