Isu kilang: Kerajaan negeri bertindak lebih awal - MB - Utusan Malaysia

Isu kilang: Kerajaan negeri bertindak lebih awal – MB

AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor bertindak lebih awal bagi memantau pergerakan dan tingkah laku pekerja kilang dengan menggunakan kaedah Pencegahan Cetusan Kawasan Penularan (POIS) bagi mengawal penularan Covid-19.

Kaedah itu digunakan sebelum Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memperkenalkan program Safe At Work bagi memastikan pekerja dalam sektor yang dibenarkan beroperasi sebelum ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari memberitahu, pelaksanaan POIS bertujuan mencegah penyebaran dalam kluster-kluster yang bercampur aduk sehingga menyukarkan kontak rapat dikesan.

“Memang kita selalu konsisten apabila kita cakap, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) elok kita hentikan beberapa operasi kerana kemungkinan kluster yang tinggi ini bukan sahaja jumlahnya terlibat daripada kilang, ada pertikaian tentang dasar itu, tetapi juga keberadaan orang ramai keluar masuk pergi tempat kerja dan sebagainya.

“Ia telah mencampuradukkan di antara kluster-kluster tertentu dan diantara kewujudan-kewujudan tertentu terhadap perkara-perkara tersebut, itupun sebenarnya kerajaan negeri daripada awal melaksanakan POIS,” katanya dalam wawancara bersama sebuah stesen televisyen swasta malam tadi.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mempersoalkan tindakan kerajaan negeri dan Menteri Besar tidak mengambil tindakan ke atas kilang-kilang yang masih beroperasi di negeri ini.

Bagaimanapun, kenyataan itu disangkal Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan negeri, Ng Sze Han yang menjelaskan bidang kuasa itu terletak di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Justeru, Amirudin sekali lagi memaklumkan, kerajaan negeri tidak boleh berbuat demikian dan menjelaskan bidang kuasa bagi tindakan itu perlu berbalik semula kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) terutama ketika Proklamasi Darurat sedang berjalan.

“Perkara dalam Akta 342 itu kuasa untuk menutup sesuatu premis, menghentikan operasi itu terletak pada bidang kuasa yang tersebut. Pihak berkuasa tempatan sebagaimana dinyatakan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini juga bahawa kuasa dan sebagainya itu harus kembali kepada MKN.

“Dari segi praktikal, kita lihat sebagai contoh, tidak kurang daripada 5,000 kilang yang berdaftar di daerah Petaling sahaja kalau tidak salah, berapakah jumlah pegawai PBT yang kita ada. Yang kita ada maksimum 2,000 termasuk kerani dan sebagainya.

“Penguat kuasa mungkin dalam sekitar 10 peratus, iaitu 200 hingga 300 orang, jadi tidak mungkin mereka mempunyai kapasiti untuk menjelajah bagi setiap seorang pegawai bagi melihat operasi kilang dan juga menutup seperti dalam bidang kuasa terbabit,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.