Had masa operasi bazar Aidilfitri perlu dikaji semula

Had masa operasi bazar Aidilfitri perlu dikaji semula

AMINUDDIN Harun pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di Seremban hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan negeri meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) menyemak semula waktu operasi bazar Aidilfitri di negeri ini yang didakwa terhad sehingga 12 tengah malam sahaja.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kajian itu perlu bagi memberi peluang kepada para peniaga dan pengunjung bazar sempena bulan puasa menyeimbangkan masa antara menunaikan ibadah dan menjalankan aktiviti perniagaan.

Beliau berkata, tempoh masa yang lebih wajar akan membolehkan kedua-dua pihak itu memberi tumpuan kepada ibadah di bulan Ramadan terlebih dulu sebelum menjalankan aktiviti perniagaan atau mengunjungi bazar.

“Kita menggalakkan umat Islam menunaikan ibadah secara berjemaah sepanjang bulan Ramadan seperti solat Maghrib, Isyak dan masa tarawih yang mana ia lazimnya selesai sekitar pukul 10.30 malam.

“Jadi mereka berdepan masa yang terhad jika operasi bazar dihadkan sehingga 12 tengah malam. Oleh itu, waktu operasi ini wajar dikaji supaya memberi ruang kepada mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas rungutan komuniti peniaga mengenai waktu operasi bazar Aidilfitri di Senawang dekat sini yang dihadkan sehingga 12 tengah malam sahaja.

Aminuddin menarik perhatian, bazar Aidilfitri di daerah ini bukan saja dikunjungi oleh penduduk sekitar tetapi dari daerah lain serta ada yang datang dari Melaka dan Selangor.

“Contohnya di Senawang, pengunjung yang hadir itu bukan sahaja dari Seremban tetapi dari seluruh negeri malah dari Selangor dan Melaka sanggup datang ke Senawang.

“Jika masa dihadkan ia tidak akan menjadi tarikan lagi dan boleh memberi kesan kepada peniaga,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN