PETALING JAYA: Hari keempat Sidang Khas Dewan Rakyat sekali lagi dihangatkan dengan pertikaian mengenai isu Proklamasi Darurat dan pembatalan ordinan oleh kerajaan antara ahli-ahli Parlimen pembangkang dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.
Isu sama yang sejak Isnin lalu dicetuskan ekoran kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkenaan penamatan ordinan darurat pada 21 Julai lalu sama ada perkara itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong atau tidak.
Sidang dimulakan pada 10 pagi terus dikejutkan oleh beberapa ahli Parlimen blok pembangkang bangun dan mahu Azhar menerima usul supaya isu berkenaan dibentang dan dibahas di Dewan Rakyat.
Perkara itu menyebabkan sesi penerangan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tertangguh lebih sejam.
Antaranya Gobind Singh Deo (PH-Puchong) bangun menggesa perkara sama dengan meminta Azhar membuat ketetapan berkenaan isu yang dibangkitkan ramai Ahli Parlimen.
“Kita minta satu ‘ruling’ mengenai ‘revocation’ (pembatalan), kerajaan sahaja sudah ‘revoke’ (batalkan), kita perlukan masa untuk itu (bahas dan putuskan). Apa yang penting kerana kita kena faham mengenai pengasingan kuasa.
“Kuasa yang diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong diperuntukkan dalam Perlembagaan. Bagi saya, sama ada pengasingan kuasa dan Dewan ini menghormati Perlembagaan dan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Menjawab isu dibangkitkan ramai Ahli Parlimen pembangkang itu, Azhar kekal dengan keputusan awalnya bahawa isu Proklamasi Darurat dan ordinan akan dijelaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang dijadualkan Isnin depan.
Isnin lalu, Takiyuddin memaklumkan kerajaan sudah memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang akan tamat pada 1 Ogos ini.
Beliau turut memaklumkan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, enam ordinan dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat sudah dibatalkan sejak 21 Julai lalu. – UTUSAN ONLINE