Inisiatif Agenda Hijau rancakkan ekonomi negara - Utusan Malaysia

Inisiatif Agenda Hijau rancakkan ekonomi negara

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Inisiatif Agenda Hijau yang dilaksanakan di bawah Dasar Teknologi Hijau Kebangsaan sejak tahun 2009 memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan sektor teknologi hijau sebagai usaha merancakkan ekonomi dan mempromosi pembangunan lestari.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antaranya Skim Pembiayaan Teknologi Hijau menghasilkan RM5.6 bilion disalurkan kepada 431 syarikat dan syarikat hijau.

Menurut beliau, Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) yang diperkenalkan pada tahun lalu pula menyaksikan sejumlah 635 projek teknologi hijau diluluskan untuk pembelian aset teknologi hijau, menghasilkan pelaburan sebanyak RM2.389 bilion, manakala Pengecualian Cukai Pendapatan Hijau (GITE) diluluskan untuk enam projek perkhidmatan hijau.

“Program MyHijau Mark and Directory juga mendorong perniagaan, pengguna dan agensi untuk membuat keputusan pembelian dengan membina katalog produk dan perkhidmatan hijau yang diperakukan.

“Ini menggabungkan pengiktirafan hijau sejajar dengan Program Perolehan Hijau, dengan lebih 7,776 produk dan 653 syarikat perkhidmatan menyertai MyHijau.

“Ini adalah beberapa inisiatif yang ditawarkan kementerian dan agensi untuk mempermudahkan transformasi ekonomi negara dan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi hijau sejak dekad lalu,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa (Igem) 2021 ke-12 secara maya hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan turut menubuhkan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC) pada April lalu sebagai platform berpusat bertujuan memandukan Kerajaan Persekutuan dan negeri bagi tindakan perubahan iklim yang dikawal selia Kementerian Alam Sekitar dan Air dengan memberi tumpuan Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Kebangsaan (NLCCMP), Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 dan mekanisme penetapan harga karbon.

Beliau menjelaskan, NLCCMP yang dilancarkan pada 13 Julai lalu memberikan panduan kepada pihak berkuasa tempatan dan kerajaan  negeri mengenai perkhidmatan kelestarian alam sekitar, infrastruktur dan pembangunan.

Melalui Rangka Tindakan Mobiliti Rendah Karbon pula, kata beliau, terdapat peningkatan penggunaan kenderaan elektrik dan pengangkutan rendah karbon untuk pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dalam tempoh 10 tahun ke hadapan.

“Dalam menerapkan rancangan induk dan mengiktiraf peranan bandar dalam menangani perubahan iklim, kerajaan memperuntukkan RM35 juta di bawah Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK)  bagi membolehkan pihak berkuasa tempatan bergerak ke arah bandar rendah karbon melalui inisiatif akar umbi.

“Pada awal tahun ini juga kerajaan Malaysia mengambil langkah proaktif untuk menyelaraskan agenda pembiayaan hijau dengan mengeluarkan Sukuk Kelestarian Dolar AS Berdaulat pertama di dunia dengan sejumlah AS$ 1.3 bilion yang dikumpulkan digunakan untuk membiayai projek sosial dan hijau yang memenuhi syarat sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, sebagai langkah kehadapan, IGEM akan menjadi tuan rumah The Strategic Lab-Visioning a Hydrogen Economy untuk Malaysia meneroka potensi peranan hidrogen dalam campuran tenaga negara dan bagaimana ia boleh menyumbang untuk membina semula ekonomi.

Katanya, sesi berkenaan akan diketuai panel pakar antarabangsa dan tempatan sekali gus mengalu-alukan usaha syarikat Malaysia menjalin kerjasama mengenai teknologi dan perkongsian pengetahuan dalam ekosistem hidrogen, pengkomersialan dan teknologi hijau. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya