Trump kecam Putin banyak ‘helah’, janji hantar 10 peluru berpandu Patriot ke Ukraine - Utusan Malaysia

Trump kecam Putin banyak ‘helah’, janji hantar 10 peluru berpandu Patriot ke Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Presiden Russia, Vladimir Putin dan berjanji untuk menghantar 10 peluru berpandu Patriot ke Ukraine.

Perkara itu diumumkan selepas beliau mengesahkan penghantaran semula senjata AS kepada Kyiv yang sebelum ini dihentikan oleh Pentagon, menurut seorang pegawai.

Bercakap dalam mesyuarat kabinet pada Selasa, Trump berkata beliau semakin kecewa dengan pemimpin Russia itu.

“Kita sering dilemparkan dengan pelbagai helah oleh Putin, kalau nak tahu yang sebenar. Dia selalu nampak baik, tapi semuanya tak bermakna,” kata Trump.

Apabila ditanya sama ada beliau akan mengenakan sekatan tambahan ke atas Russia, Trump menjawab bahawa beliau sedang meneliti perkara itu.

“Kita akan hantar lebih banyak senjata kepada Ukraine. Mereka perlu mampu mempertahankan diri. Mereka sedang diserang hebat sekarang,” kata Trump dalam satu sidang media bersama delegasi AS dan Israel.

Pegawai Ukraine menyambut baik perubahan pendirian Trump, namun menyifatkan jumlah peluru berpandu Patriot yang dijanjikan itu sebagai terlalu sedikit.

Kementerian Pertahanan Ukraine memaklumkan bahawa mereka masih menunggu pengesahan rasmi mengenai perubahan dasar tersebut.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata adalah sangat penting bagi Ukraine untuk mendapat kestabilan, kesinambungan dan kepastian dalam bantuan ketenteraan, khususnya sistem pertahanan udara.

“Kami berterima kasih kepada AS atas segala sokongan yang diberikan dan amat menghargai usaha rakan-rakan AS dalam mencari keamanan yang sebenar,” tambah kenyataan itu.

Ukraine kini dipercayai memiliki lapan sistem pelancar Patriot, masing-masing bernilai lebih daripada AS$1 bilion (RM4.25 bilion) dan digunakan untuk menembak peluru pemintas.

Janji Trump hadir selepas serangan udara besar-besaran Russia selama tujuh jam ke atas Kyiv pada malam Khamis lalu melibatkan lebih 550 dron dan peluru berpandu balistik.

Pegawai Ukraine enggan mengulas tentang jumlah stok mereka namun menyatakan bahawa 10 peluru berpandu Patriot itu hanya cukup untuk menangkis satu serangan udara berskala besar pada waktu malam. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×