Rishi Sunak dilantik penasihat kanan di Goldman Sachs selepas setahun tinggalkan politik - Utusan Malaysia

Rishi Sunak dilantik penasihat kanan di Goldman Sachs selepas setahun tinggalkan politik

RISHI SUNAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Bekas Perdana Menteri United Kingdom (UK), Rishi Sunak, kembali ke dunia kewangan apabila dilantik sebagai penasihat kanan di syarikat pelaburan global, Goldman Sachs, kira-kira setahun selepas meletakkan jawatan susulan kekalahan besar Parti Konservatif kepada Parti Buruh pimpinan Keir Starmer.

Pengumuman rasmi dibuat oleh Goldman Sachs pada Selasa, yang turut mengesahkan kepulangan Sunak ke institusi kewangan dengan beliau memulakan kerjayanya sebagai penganalisis pada awal 2000-an.

Walaupun masih memegang kerusi Parlimen di utara England, Sunak semakin menjauh dari arus politik utama.

Sebelum terjun ke dunia politik, beliau berkhidmat dalam sektor dana lindung nilai dan pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan UK sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri.

Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs, David Solomon, menyifatkan pelantikan Sunak sebagai satu langkah strategik yang tepat berdasarkan kepakaran dan pengalamannya dalam dasar ekonomi serta hubungan antarabangsa.

“Kami berbesar hati menyambut Rishi kembali ke Goldman Sachs. Dalam peranan ini, beliau akan bekerjasama rapat dengan pemimpin-pemimpin firma untuk menasihati pelanggan global dalam isu-isu utama termasuk ekonomi makro dan ketegangan geopolitik,” kata Solomon dalam kenyataan rasmi.

Sunak sebelum ini sering menjadi sasaran kritikan pengundi kerana dianggap terlalu elit dan jauh dari realiti kehidupan rakyat biasa, terutamanya kerana kekayaannya yang dikaitkan dengan empayar teknologi Infosys iaitu syarikat yang diasaskan oleh bapa mentuanya di India.

Beliau juga dikenali sebagai Perdana Menteri terkaya dalam sejarah Britain.

Sejak kekalahan teruk Parti Konservatif dalam pilihan raya umum tahun lalu, Sunak mengambil langkah untuk menjauhkan diri daripada perhatian media.

Langkah Sunak ini selari dengan laluan kerjaya beberapa bekas ahli politik Britain yang turut menyertai sektor kewangan selepas bersara daripada politik.

Antaranya termasuk bekas Menteri Kewangan, George Osborne, yang kini bersama BlackRock dan Robey Warshaw, serta Sajid Javid yang menjadi rakan kongsi di firma pelaburan Centricus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN