SHAH ALAM: Hospital Shah Alam (HSA) menerima sebuah kontena bagi menempatkan mayat mangsa Covid-19 daripada syarikat perkapalan, Maritime Network Sdn. Bhd. (Maritime Network).
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Santara Kumar berkata, pada mulanya, syarikat tersebut mahu menyumbangkan kontena yang diubahsuai itu kepada kementeriannya untuk diberikan kepada mana-mana hospital di sekitar Kuala Lumpur.
“Namun setelah pihak kementerian melakukan perbincangan dengan mereka, kami telah meminta syarikat itu menyumbangkan kontena terbabit kepada HSA kerana hospital itu amat memerlukan tempat meletakkan mayat mangsa Covid-19.
“Mendengar penjelasan pihak kementerian, syarikat berkenaan bersetuju memberikan kontena itu kepada HSA,” katanya selepas menyaksikan program sumbangan sebuah kontena kepada HSA di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE