REMBAU: Sudahlah hilang pendapatan selepas bengkel besi diusahakannya tidak boleh beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini seorang lelali disahkan pula menghidap barah di bahagian usus.
Shamsulrizal Ahmad Mustafa, 41, berkata, dia tidak menyangka rasa sakit dia bahagian perut yang dialami sejak tiga bulan lalu merupakan tanda di menghidap penyakit tersebut.
“Saya mengusahakan bengkel besi di Seremban bersama adik namun tidak boleh beroperasi kerana PKP. Saya hilang pendapatan lebih RM2,000 sebulan dan kini bergantung sepenuhnya kepada wang simpanan yang semakin menyusut serta bantuan daripada kenalan.
“Kini saya sedang menunggu keputusan imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) yang dilakukan di sebuah hospital swasta bagi mengetahui tahap kanser yang dialami selepas sebelum ini yang mendapatkan rawatan di Hospital Rembau dan Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ),” katanya.
Dia ditemui pemberita ketika menerima sumbangan daripada Pertubuhan Amal Anak Rembau (PAAR) di rumahnya di Pedas, di sini.
“Semua ini baharu sahaja berlaku, rakan-rakan serta NGO banyak membantu menampung perbelanjaan saya, isteri serta anak seramai lima orang yang berusia setahun hingga 13 tahun,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengasas PAAR, Zaiton Othman berkata, ahlinya mendapat maklumat tentang masalah yang dihadapi tujuh sekeluarga berkenaan dan terus menghulurkan bantuan.
“Ramai peniaga kecil yang terkesan akibat pendemik Covid-19 dan PKP kerana tidak dapat bekerja serta jualan pula tidak memberangsangkan.
“Jadi kami hulurkan bantuan bagi memastikan keluarga ini tidak terputus bekalan makanan,” katanya lagi
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluaga ini boleh menyalurkannya ke akaun isteri Shamsulrizal, 0530041000112352 (Bank Simpanan Nasional) atas nama Norhafizah Mohd. Sheriff. – UTUSAN ONLINE










