Hilang kepercayaan PM boleh dibuat di luar Parlimen - Utusan Malaysia

Hilang kepercayaan PM boleh dibuat di luar Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri tidak hanya diputuskan dengan undi tidak percaya di Parlimen malah boleh juga dibuat melalui bukti lain di luar Dewan Rakyat.

Jawatankuasa Perundangan Pakatan Harapan (PH) berpandangan, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa partinya menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali gus menunjukkan bukti jelas Perdana Menteri telah hilang sokongan majoriti anggota Parlimen.

Jelas kenyataan itu, Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan dan mengundurkan diri daripada Kabinet kecuali jika beliau memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.

“Jika beliau (Muhyiddin) gagal meletakkan jawatan, Seri Paduka boleh mengarahkan Perdana Menteri untuk mengadakan sidang Parlimen segera tanpa menunggu tarikh 26 Julai untuk mengemukakan usul percaya bagi membuktikan beliau masih mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen.

“Sekiranya beliau gagal berbuat demikian, Yang di-Pertuan Agong berhak memecatnya dan melantik anggota Parlimen lain yang mendapat sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri.

“Namun jawatankuasa ini sepakat dengan pendirian Majlis Presiden Pakatan Harapan bahawa pilihan raya umum atau pilihan raya kecil harus dielakkan pada masa ini kerana kes Covid-19 masih tinggi di negara ini,” jelas kenyataan itu hari ini.

Jawatankuasa Perundangan PH mengulas kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bahawa buat masa ini kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas yang menunjukkan Muhyiddin tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Kelmarin UMNO mengumumkan sokongan terhadap Perdana Menteri ditarik balik serta-merta dan keputusan tersebut adalah berpandukan tujuh kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mengulas kenyataan Peguam Negara, jawatankuasa itu berpandangan, Idrus adalah silap apabila menyatakan setiap Ahli Parlimen UMNO perlu menyatakan pendirian secara individu bahawa beliau telah hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri dan sehingga ini Muhyiddin dan Kabinetnya masih sah.

Jelas jawatankuasa itu, kenyataan Peguam Negara adalah bukan hak UMNO atau Presidennya bagi menyatakan Ahli Parlimen UMNO kehilangan kepercayaan terhadap Perdana Menteri telah gagal menjelaskan hakikat pelantikan Muhyiddin sebelum ini sebagai Perdana Menteri adalah berdasarkan representasi pemimpin parti kepada Yang di-Pertuan Agong dan bukannya oleh ahli Parlimen secara individu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN