ISKANDAR PUTERI: Kerajaan digesa mencari alternatif dalam berdepan pandemik Covid-19 di negara ini dengan tidak hanya bergantung kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semata-mata.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, sebaliknya kerajaan perlu mencari pendekatan baharu iaitu bagaimana untuk ‘hidup bersama’ wabak berkenaan.
Menurut beliau, langkah itu perlu dibuat segera bagi memastikan rakyat negara ini tidak terus berdepan pelbagai tekanan khususnya berkaitan ekonomi untuk tempoh masa panjang.
“Kita perlu ada satu pendekatan baharu, bukan lagi ‘zero Covid-19’ tetapi ‘live with Covid-19’.
“Cara hidup baharu dengan wabak ini perlu diperkenal melibatkan semua lapisan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bakul makanan kepada Persatuan Pemandu-Pemandu Bas Sekolah Johor Bahru Cawangan Iskandar Puteri di GP Mall di sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Skudai, Tan Hong Pin.
Negara diletakkan dibawah perintah darurat sejak 12 Januari lalu sehingga 1 Ogos ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sementara itu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, pihaknya berharap pelaksanaan darurat akan ditamatkan menjelang 1 Ogos dan tidak disambung semula.
“Kita semua mahu darurat ditamatkan tapi kita tak boleh menggunakan cara lama seperti ‘lockdown’, betul ia boleh menyelamatkan keadaan tetapi kehidupan ramai rakyat mati (terjejas).
“Jadi apa yang lebih mustahak adalah kita perlu mencari pendekatan baharu dalam berdepan pandemik Covid-19 ini bagi memastikan kita dapat menang dalam peperangan ini,” katanya.










