Harga telur ayam naik menjelang Aidiladha - Utusan Malaysia

Harga telur ayam naik menjelang Aidiladha

ROSOL Wahid (tengah) melakukan pemeriksaan harga barangan menjelang Hari Raya Aidiladha di Tunas Manja Mall Temerloh di Temerloh, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Harga telur ayam pelbagai gred mencatatkan kenaikan harga lebih tiga peratus menjelang Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai ini berikutan banyak ladang ternakan tidak beroperasi ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, pihak kementerian menerima laporan tentang kenaikan harga telur ayam bermula kelmarin.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kenaikan harga telur ayam tidak dapat dielakkan berikutan banyak ladang ternakan ditutup berikutan PKP sekali gus menyebabkan penawaran berkurang manakala permintaan terhadap bahan itu meningkat.

“Kementerian akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peniaga sekiranya menaikkan harga pada kadar yang tidak munasabah.

“Pihak kementerian memahami situasi yang ditanggung peniaga yang terpaksa menaikkan harga telur ayam berikutan harga dari ladang meningkat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan harga barangan di Tunas Manja Mall Temerloh di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Pengarah (Pencegahan) Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Aris Mamat dan Pengurus Tunas Manja Temerloh, Low Kok Loon.

Rosol berkata, sebagai contoh harga telur ayam di pasar raya Tunas Manja pada dua hari lalu bagi gred A ialah RM12 kini RM13.10, gred B RM10.80 (kini RM11.90), Gred C RM10.20 kini RM11.30.

Dalam pada itu katanya, bekalan barangan keperluan menjelang Hari Raya Aidiladha pada 20 Julai ini adalah mencukupi kecuali tepung gandum bersubsidi.

“Pihak penguat kuasa kementerian sentiasa memantau di pasar raya dan premis bagi memastikan barangan mencukupi. Pemantauan bertujuan mengesan mana-mana peniaga tamak mengambil kesempatan mengaut keuntungan berganda di musim perayaan.

“Kementerian telah menggerakkan seramai 2,262 pegawai penguat kuasa setiap hari bagi memastikan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Sektor Perdagangan Pengedaran dapat dilaksanakan dengan efektif,” katanya.

Jelasnya, orang ramai tidak perlu bimbang tentang ketidakcukupan barangan keperluan harian sepanjang tempoh sekatan perjalanan menyeluruh dan juga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serta tidak perlu mencipta situasi pembelian panik.

Tambah beliau, pihak pemborong dan pembekal telah diminta menambah stok masing-masing untuk menampung pembekalan di musim perayaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya