PUTRAJAYA: Tren baharu Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk sektor Pantai Timur, Diesel Multiple Unit (DMU) cuma mengalami tujuh kemalangan sejak dilancarkan April lalu.
Menurut rekod syarikat rel nasional milik kerajaan itu, kesemua nahas tersebut disebabkan kes insiden terlanggar haiwan ternakan dan binatang liar yang menceroboh kawasan landasan.
“Ada juga kes akibat bertembung dengan pokok tumbang dan kesemua kejadian berkenaan merupakan cabaran perkhidmatan tren DMU pada masa ini,” kata KTMB menerusi kenyataan hari ini.
Perkhidmatan DMU yang merupakan set tren moden empat koc itu dirasmikan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong di Stesen Pasir Mas, Kelantan pada 11 April lalu.
Ia meliputi laluan Kuala Lipis – Gua Musang – Tumpat dengan beroperasi 10 trip setiap hari, namun sepanjang fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia dikurangkan kepada empat trip sehari.
Tren ini lebih laju, senyap dan dilengkapi dengan fasiliti selesa menggantikan tren konvensional intercity secara berperingkat tetapi masih lagi mengekalkan kadar tambang yang sedia ada.
Mengulas lanjut, KTMB memaklumkan, setakat ini belum ada lagi rekod buruk yang menunjukkan tren ini pernah mengalami isu kegagalan teknikal semasa sedang beroperasi di lapangan.
“DMU ialah tren yang reliable (boleh dipercayai) dan jika dibandingkan dengan tren intercity, ia memendekkan masa perjalanan apabila jadual waktu baharu diperkenalkan kelak,” katanya.
Syarikat itu memberi contoh perjalanan dari Kuala Lipis ke Gua Musang sejauh 94 kilometer yang sebelum ini mengambil masa selama dua jam 30 minit akan menjadi sejam 40 minit.
Selain itu jelasnya, faktor landasan yang sedang dibaik pulih akan membolehkan set DMU mampu mencapai kelajuan optimum 80 kilometer sejam (km/j) berbanding terdahulu cuma 50 km/j.
Had operasi maksimum yang dibenarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat ialah 120 km/j iaitu menyamai kelajuan tren komuter EMU Kelas 92 sektor Sentral dan Utara pada ketika ini.
KTMB katanya, merancang untuk menambah lagi kekerapan tren DMU dengan pilihan waktu yang lebih banyak pada masa depan, sekali gus memberi kemudahan kepada warga tempatan.
“Bahkan, KTMB optimis perkhidmatan DMU bakal menjadi pengangkutan pilihan ramai sebaik sahaja aktiviti merentas negeri dibenarkan kerajaan selaras Pelan Pemulihan Negara,” katanya.
Sejumlah 13 set DMU buatan China dari Kelas 61 yang keseluruhannya bernilai RM380 juta itu digunakan KTMB pada masa ini dan dijangka menggantikan tren intercity laluan Pantai Timur.










