Hadis kata pakai serban bertambah sifat lemah lembut daif

Hadis kata pakai serban bertambah sifat lemah lembut daif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini masih boleh mengenakan serban di kepala namun dengan bersandarkan kepada hadis-hadis sahih mengenai pemakaian Rasulullah SAW.

Demikian pandangan terbaharu Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi keterangan Irsyad Al-Hadith Siri ke-526 disiarkan melalui laman sesawang rasmi agensi itu semalam.

Ia sebagai menjawab kemusykilan berhubung status satu hadis Nabi Muhammad SAW yang menyatakan bahawa sesiapa memakai serban akan bertambah sifat lemah lembutnya.

Pejabat mufti berkenaan dalam jawapannya memaklumkan bahawa taraf hadis itu adalah bersifat daif (lemah) kerana ada rawi atau si periwayatnya yang dianggap sebagai bermasalah.

“Ia juga dinilai lemah oleh alim ulama hadis yang masyhur antaranya Imam Al-Bukhari dan Ibn Hajar al-‘Asqalani walaupun terdapat sokongan daripada riwayat hadis lain,” katanya.

Bagaimanapun ujar keterangan pejabat itu, di sebalik taraf sebagai daif, tidak dinafikan serban antara pakaian Rasulullah SAW seperti dilaporkan hadis sahih yang lain.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, pejabat tersebut berkata, hadis ‘Pakailah serban, maka akan bertambah sifat lemah lembut’ itu diriwayatkan Al-Tabarani dalam kitab Al-Mu’jam Al-Kabir.

Ia dikesan melalui dua sanad atau keterangan berbeza iaitu menerusi riwayat Ibn ‘Abbas dan Usamah Umair yang jika diteliti, dinukilkan tertumpu kepada perawi Ubaidullah Abu Humaid.

“Terlalu banyak kritikan ulama hadis terhadap beliau dengan Imam Al-Nasaie, Imam Ahmad dan Abu Hatim menilai perawi ini adalah matruk atau ditinggalkan riwayatnya,” jelasnya lagi.

Ini diakui Imam Al-Bukhari apabila ditanya Imam al-Tirmizi dengan menjawab: “Ubaidullah perawi lemah, banyak kehilangan hadis dan saya tidak meriwayatkan apa-apa daripadanya.”

Perkara ini turut disahkan Ibn ‘Abbas yang menyifatkan perawi Imran Tamam itu dinilai banyak meriwayatkan hadis munkar iaitu tidak diterima keadilannya atau tidak boleh dipercayai.

Secara umum, hadis berkenaan termasuk dalam kumpulan hadis ditolak dan seterusnya dapat memelihara hadis sahih Nabi Muhammad SAW lain daripada sebarang isu pendustaan.

Jawapan tuntas dari pejabat mufti itu sekali gus menjelaskan kenapa sebahagian besar ulama Nusantara dan rantau bukan Arab tidak pernah pun memakai serban sejak dahulu lagi.

Begitu juga tokoh ulama kontemporari di Asia Barat khususnya syeikh Al-Azhar di Mesir sendiri lebih menonjol dengan sarung kepala seperti songkok yang dibalut kain baldu lembut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.