Guna surat MITI untuk seludup rokok - Utusan Malaysia

Guna surat MITI untuk seludup rokok

RAMLI Mohamed Yoosuf (dua dari kiri) bersama pegawai kanan IPK Pahang menunjukkan sebahagian rokok seludup yang dirampas ketika sidang akhbar di IPK Pahang, di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/NIK SUKRY RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Taktik dua penyeludup rokok menggunakan surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi memudahkan pergerakan mereka, tidak berhasil apabila kegiatan tersebut berjaya dihidu pihak polis.

Dalam kes pertama di sekatan jalan raya (SJR) hadapan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Temin, dekat Jerantut, kira-kira pukul 5 petang semalam, suspek berusia 40 tahun ditahan bersama lori membawa muatan 47 guni mengandungi rokok pelbagai jenama yang dipercayai tanpa cukai Kastam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, suspek ditahan selepas pegawai dan anggota di SJR tersebut mendapati suspek dan lori berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan dilakukan pegawai dan anggota kami di bahagian belakang lori terbabit, menemukan sejumlah rokok yang dipercayai tidak mempunyai cukai Kastam.

“Jumlah keseluruhan rampasan ini dianggarkan bernilai RM278,000 dan kita akan hantar rokok terbabit kepada pihak Kastam untuk penilaian cukai.

“Suspek ditahan dan semua rokok itu dirampas serta dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, dalam kes kedua pula, sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Risik Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara, mematahkan cubaan seorang suspek yang cuba menyeludup rokok di Jalan Muadzam Shah-Bukit Ibam, awal pagi tadi.

Ramli berkata, suspek ditahan selepas lori dipandunya dipintas pegawai dan anggota PGA pukul 4.15 pagi, hasil maklumat dan risikan.

“Suspek berusia 36 tahun itu cuba mengaburi mata pegawai dan anggota PGA yang melakukan pemeriksaan dengan meletakkan kotak mengandungi rokok dipercayai (rokok) seludup di bahagian belakang manakala di bahagian depan, suspek menyusun kotak mengandungi makanan ringan.

“Bagaimanapun, taktik itu tidak berjaya mengelirukan pegawai dan anggota kami dan hasilnya, kita merampas pelbagai jenis rokok putih dan rokok kretek dianggarkan bernilai RM2.05 juta.

“Nilai rampasan ini adalah termasuk rampasan lori dipandu suspek dan jumlah anggaran cukai bagi rokok berkenaan,” katanya yang turut mengesahkan bahawa suspek turut menggunakan surat kebenaran MITI bagi tujuan pergerakan menggunakan lori terbabit.

Beliau bagaimanapun memaklumkan pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai ketulenan surat MITI digunakan kedua-dua suspek.

Katanya, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya