Golongan berusia 51 tahun ke atas cenderung jadi mangsa Macau Scam - Utusan Malaysia

Golongan berusia 51 tahun ke atas cenderung jadi mangsa Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Analisis Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, golongan berusia 51 tahun dan ke atas cenderung untuk menjadi mangsa penipuan Macau Scam.

Ini kerana, berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Bukit Aman mendapati, sepanjang 2019 hingga Jun lalu, sebanyak 5,527 kes penipuan Macau Scam direkodkan melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM327.9 juta.

Daripada 5,535 orang mangsa yang terlibat, individu dalam lingkungan 51 tahun dan ke atas mencatatkan jumlah yang tertinggi apabila seramai 1,621 orang dengan 29.3 peratus direkodkan dalam tempoh itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, selain itu, sebanyak 26.2 peratus melibatkan mangsa dalam lingkungan 21 hingga 30 tahun diikuti 31 hingga 40 tahun (25.3 peratus), 41 hingga 50 tahun (17.8 peratus) dan bawah 20 tahun (1.5 peratus).

Jelas beliau, faktor berusia terdedah menjadi mangsa adalah kerana kurangnya pendedahan terhadap informasi serta perkembangan semasa kes-kes penipuan yang berlaku.

“Ditambah dengan kedudukan ekonomi golongan ini yang lazimnya telah mempunyai aliran kewangan yang stabil selain mempunyai wang simpanan untuk hari tua mahupun wang persaraan.

“Justeru peratusan untuk mereka menjadi mangsa penipuan adalah lebih tinggi. Amat menyedihkan apabila wang yang sepatutnya menjadi kegunaan dalam menempuh hari persaraan hilang akibat menjadi mangsa penipuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Kamarudin turut mengingatkan pentingnya komunikasi dalam kalangan ahli keluarga menyalurkan maklumat serta perkembangan modus operandi penipuan sebegini.

“Ahli keluarga khususnya anak-anak hari ini yang mempunyai pendedahan langsung dengan maklumat di media sosial adalah disarankan untuk memaklumkan pengetahuan yang diperoleh kepada ibu bapa agar mereka turut cakna dengan situasi semasa.

“Adalah diharapkan, melalui peranan yang dimainkan setiap daripada kita, kes-kes jenayah penipuan khususnya Macau Scam ini dapat dicegah dan dihapuskan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya