KUANTAN: Penghantar makanan bermotosikal atau ‘food riders’ sekitar daerah ini, mampu tersenyum lebar apabila berpeluang mendapat minyak petrol percuma selama lima hari sehingga 16 Julai ini.
Sumbangan tersebut hasil keprihatinan ahli Kelab Keluarga Yayasan Pahang (YP) bagi menghargai kesungguhan penghantar makanan bermotosikal yang bertungkus-lumus memberi perkhidmatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Yang Dipertua Kelab Keluarga YP, Onn Abdul Rani berkata, penghantar makanan yang ingin mendapatkan petrol secara percuma tersebut tidak perlu mendaftar atau mengisi sebarang borang.
“Kami menjangkakan seramai 200 penghantar makanan mendapat manfaat hasil sumbangan ini yang mana mereka boleh terus dapatkannya di stesen minyak Petronas Tanjung Lumpur bermula pukul 9 pagi hingga 11 pagi selama lima hari.
“Sumbangan tersebut adalah daripada YP sendiri dan kakitangan untuk membantu penghantar makanan yang boleh diraikan sebagai ‘unsung hero’ memandangkan mereka juga banyak membantu kita,” katanya ketika ditemui pemberita di Petronas Tanjung Lumpur, di sini hari ini.
Sebanyak RM2,000 diperuntukkan bagi menjayakan program itu dan pemberian tidak terhad kepada mana-mana jenama penghantar makanan.
Sementara itu, seorang penghantar makanan, Saufi Nuqman berkata, dengan sumbangan tersebut, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan perbelanjaan yang ditanggung.
“Setiap hari saya perlu mengisi petrol sebanyak RM15 dengan rutin penghantaran bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam dan dengan pemberian sebanyak RM5 maka dapat kurangkan sedikit kos dikeluarkan.
“Saya bersyukur dan gembira apabila ada pihak sudi membantu dengan sumbangan berbentuk petrol percuma ini. Terima kasih Yayasan Pahang,” katanya. – UTUSAN ONLINE










