Elak orang ramai berkumpul, polis tutup Jalan Pantai Seberang Takir

Elak orang ramai berkumpul, polis tutup Jalan Pantai Seberang Takir hari ini

LALUAN pesisir Pantai Seberang Takir di Kuala Nerus ditutup berkuat kuasa hari ini hingga tarikh yang akan diumumkan kelak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Polis menutup jalan pesisir Pantai Seberang Takir di Kuala Nerus berkuat kuasa hari ini bagi mengelakkan orang ramai berkunjung dan berkumpul di lokasi tersebut.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Zin berkata, penutupan itu membabitkan laluan dari bulatan Ketapang menghala ke pusat bandar melalui jambatan angkat.

“Tindakan orang ramai berkunjung dan berkumpul menyukarkan penjarakan fizikal dan dikhuatiri boleh menyebabkan penularan jangkitan Covid-19.

“Penutupan jalan berkenaan berkuatkuasa hari ini hingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Rahim, pengguna laluan itu disarankan menggunakan jalan alternatif untuk ke pusat bandar dengan melalui Jalan Seberang Takir, Jalan Bukit Tumbuh dan Jambatan Sultan Mahmud.

Katanya, polis akan meneruskan rondaan di sepanjang Pantai Seberang Takir bagi memantau tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) orang awam.

“Orang ramai boleh merujuk SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk maklumat lanjut dan sebarang pertanyaan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di talian 09-6322377,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN