KUALA TERENGGANU: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diadakan selama tiga hari pada 13 hingga 15 September depan.
Yang Dipertua DUN, Datuk Yahaya Ali berkata, tarikh berkenaan sudah diperkenankan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
“Buat masa ini, pengisian dan agenda terperinci pada hari persidangan masih dalam proses perbincangan dengan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) di samping Jabatan Kesihatan negeri.
“Bagaimanapun, ia tertakluk kepada keadaan kes Covid-19 dan penilaian negeri berada di tahap mana,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said mendesak agar DUN bersidang segera bagi membincangkan dan menangani isu-isu berkaitan Covid-19 di samping usaha pemulihan ekonomi.
Utusan Malaysia difahamkan makluman mengenai pembukaan DUN akan dihantar kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam masa terdekat.