Dua sindiket pengedaran dadah di Pulau Pinang tumpas  - Utusan Malaysia

Dua sindiket pengedaran dadah di Pulau Pinang tumpas 

MOHD. SHUHAILY  Mohd. Zain menunjukkan pelbagai jenis dadah, pistol, barang kemas dan wang tunai yang dirampas daripada dua sindiket dadah yang berjaya ditumpaskan polis Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis melumpuhkan dua sindiket pengedaran dadah di negeri ini dalam beberapa serbuan pada 6 Julai hingga Isnin lalu membabitkan rampasan dadah bernilai RM3.5 juta. 

Dalam siri serbuan itu, turut ditahan adalah enam individu termasuk seorang dalang  berusia 42 tahun serta wanita yang juga kekasihnya berumur 25 tahun. 

Ketua negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam operasi Isnin lalu polis menyerbu tiga buah rumah di Perai; Seberang Jaya serta Simpang Ampat dekat sini bermula pukul 8.30 malam hingga 11.30 malam. 

Jelasnya, menerusi serbuan di hadapan sebuah rumah di Perai, polis menahan dua lelaki berusia 34 dan 42 tahun dan merampas 27 bungkusan syabu seberat 29.1 kilogram (kg) sebelum membuat pemeriksaan lanjut di kediaman tersebut. 

“Hasil pemeriksaan lanjut, kita menahan seorang wanita berumur 25 tahun yang dipercayai teman wanita kepada lelaki 42 tahun yang juga dalang utama sindiket pengedaran dadah ini. 

“Di dalam rumah itu, kita  merampas wang tunai berjumlah RM760,000 serta pelbagai barangan kemas bernilai RM55,000 yang dipercayai hasil daripada kegiatan pengedaran dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini. 

Menurut beliau, dengan dipandu arah oleh suspek yang ditahan, polis merampas sepucuk pistol; satu kelopak bersama 13 butir peluru; 4.3 kg heroin base; heroin (8.6 kg) dan kafein sebanyak 52.1 kg di sebuah rumah di Seberang Jaya. 

Kemudian katanya, polis membuat sebuan susulan sebelum menahan seorang lagi lelaki berusia 33 tahun di Simpang Ampat yang dipercayai salah seorang anggota sindiket itu. 

“Semua dadah dirampas bernilai RM1.4 juta dipercayai untuk pasaran di tempatan dan boleh digunakan oleh seramai 404,500 penagih jika terlepas ke pasaran. 

“Polis turut menyita sembilan buah kenderaan iaitu enam buah kereta, sebuah motosikal berkuasa tinggi, sebuah lori dan sebuah basikal bernilai RM366,150 dan empat suspek bagi kes ini kini direman selama tujuh hari,” katanya yang menambah kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah 1952. 

Dalam kes berasingan beliau berkata, polis turut menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas kejadian dua bot nelayan berlanggar di kawasan Sungai Kuala Muda, Penaga dekat sini dan merampas 60 kg syabu bernilai RM2.1 juta  6 Julai lalu. 

Katanya, selepas menerima maklumat berhubung kejadian pelanggaran bot itu, polis ke lokasi kejadian dan menahan dua lelaki berusia 38 tahun dan 42 tahun di Kepala Batas bagi membantu siasatan. 

“Seorang daripada tiga lelaki daripada bot yang membawa dadah tersebut telah terjatuh ke dalam laut dan polis bersama pihak bomba menjalankan operasi mencari serta menyelamat. 

“Namun selepas tiga hari, dia masih tidak dijumpai dan polis tidak menolak kemungkinan dia telah melarikan diri,” katanya. 

Tambahnya, kesemua mereka dipercayai ahli rangkaian sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan polis kini sedang mengesan dua lagi lelaki termasuk suspek yang terjatuh ke dalam sungai itu iaitu Muhammad Azim Zahari,19; dan Mohd. Azha Tajuddin, 32, yang kedua-duanya berasal dari Penaga dekat sini. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya