JOHOR BAHRU: Keputusan Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang menunjukkan gabungan itu tidak berminat untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, ia memberi isyarat jelas bahawa kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi enggan bersama PH demi kesejahteraan rakyat.
“Bila mereka kata nak bertanding 56 kerusi, bermakna dia sendiri yang menentang (kerjasama). Sebelum ini, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kaiat sudah melontarkan persoalan sama ada kerjasama BN-PH boleh dilaksanakan di Johor untuk pilihan raya.
“Tetapi mereka sudah keluarkan kenyataan begitu, maknanya dia sendiri yang menutup pintu. Dia sendiri isytihar tiada kerjasama dengan PH,” katanya ketika ditemui semasa Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini, hari ini.
Semalam, Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor mengumumkan akan bertanding secara solo dengan meletakkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang.
Aminolhuda yang juga Ahli Parlimen Sri Gading berkata, PH Johor tidak mahu dilihat terlalu mengharapkan kerjasama politik apabila BN telah menolak sepenuhnya.
“Kita tidak mahu ibarat hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Dia dah buat macam itu, tak mengapalah. Pendirian BN Johor secara tidak langsung memudahkan PH negeri menentukan hala tuju dalam PRN akan datang.
“Bagaimanapun, hubungan antara BN dan PH di peringkat pusat masih kekal,” katanya. – UTUSAN










