Kadar sewa premis PBT di Kedah sudah murah

Kadar sewa premis PBT di Kedah sudah murah

MANSOR ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah tidak bercadang untuk mengurangkan bayaran sewa premis di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) memandangkan kadar yang dikenakan di negeri itu sudah murah.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mansor Zakaria berkata, sewa premis yang ditetapkan di Kedah pada kadar purata RM60 hingga RM250 sebulan mengikut lokasi.

“Dalam perbincangan pada Mesyuarat Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baru-baru ini ada disentuh perkara ini, namun kerajaan negeri berpandangan tiada keperluan untuk kita mengurangkan sewa itu kerana kadar sedia ada sudah murah.

“Kadar sewa premis di Kedah cukup murah contohnya RM60 sudah boleh dapat terutama di kawasan pedalaman seperti Sik dan Baling. Di Kota Setar pun ada premis pada kadar tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mansor berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan daripada peniaga mengenai kadar sewa yang terlalu tinggi setakat ini.

“Peniaga tidak mengadu pun, masing-masing berpuas hati dengan kadar tersebut yang dipercayai mungkin terendah di negara ini. Kalau ada rungutan mungkin kita akan pertimbangkan.

“Lagipun PBT di Kedah bersikap tolak ansur dan sekiranya ada masalah untuk peniaga membayar sewa premis mereka masih boleh berunding,” jelasnya.

Beliau mengulas saranan Kerajaan Persekutuan agar PBT di seluruh negara mempertimbangkan pengurangan kadar sewaan premis perniagaan, gerai dan medan selera di bawah seliaan masing-masing sehingga penghujung tahun ini bagi membantu meringankan beban peniaga kecil.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, langkah itu merupakan usaha proaktif kerajaan dalam memelihara kebajikan rakyat khususnya komuniti penjaja dan peniaga kecil yang kini berdepan peningkatan kos operasi.

Katanya, langkah tersebut bertujuan mengurangkan beban kos operasi yang ditanggung penjaja dan peniaga kecil tempatan, selain merangsang pertumbuhan ekonomi di peringkat akar umbi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN