PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan selepas membawa dadah dipercayai syabu ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Kajang, kelmarin.
Penahanan lelaki berusia 20-an itu dilakukan kira-kira pukul 10 malam selepas dilihat memandu dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, berikutan itu, anggota bertugas di SJR meminta suspek untuk berhenti bagi membolehkan pemeriksaan lanjut.
Jelas beliau, pemeriksaan dalam Proton Wira itu kemudiannya menemukan syabu seberat 51.4 gram yang dianggarkan bernilai RM5,145.
“Polis menganggarkan dadah yang dirampas boleh dibekalkan kepada 51 penagih.
“Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Kajang untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.