KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa majoriti ahli Parlimen hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Dengan ini kami mengambil ketetapan untuk menyatakan hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri dan dimakzulkan daripada jawatan Perdana Menrteri dengan segera menurut Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang akbar di Parlimen hari ini,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan penangguhan Persidangan Khas Dewan Rakyat adalah helah kerana tahu apa sahaja bentuk undian yang berlaku menunjukkan Perdana Menteri tiada majoriti sekali gus kerajaan terpaksa membelakangi fungsi Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara.
“Ini helahnya, padahal kita boleh melakukan saringan tanpa mempersulit keadaan perjalanan Parlimen, bagi kita majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada hari ini menganggap Tan Sri Muhyiddin telah dimakzul, dipecat, gugur jawatannya sebagai Perdana Menteri.
“Usul ke arah pemecatan, ahli Dewan Rakyat menjunjung titah Seri Paduka bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa 21 Julai tergesa-gesa di Parlimen. Kenyataan yang bercanggah dan mengelirukan di Parlimen bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah membelakangi fungsi Seri Paduka selaku Ketua Negara seperti mana termaktub dalam perlembagaan.
Sehubungan itu, beliau turut mendesak Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) untuk meletak jawatan secara terhormat. – UTUSAN ONLINE