TEBING BARAT: Tentera Israel menahan lebih 1,000 rakyat Palestin di bandar Tulkarm, utara Tebing Barat, sebagai sebahagian daripada operasi besar-besaran yang kini memasuki hari kedua.
Pasukan tentera menutup pintu masuk utama bandar, menyerbu rumah, kedai dan kafe serta memaksa pemuda Palestin beratur untuk soal siasat di lapangan.
Saksi berkata, tentera turut merosakkan harta benda, merampas pengawasan dan menggunakan jentera berat termasuk jengkaut di pusat bandar.
Gabenor Tulkarm, Abdullah Kamil berkata, operasi itu adalah ‘hukuman kolektif’ dan menyeru masyarakat antarabangsa serta kumpulan hak asasi manusia campur tangan, sambil memberi amaran mengenai akibat kemanusiaan yang serius.
Media Israel melaporkan, sekatan itu berlaku susulan bom tepi jalan yang meletupkan kenderaan berperisai Panther berhampiran pos pemeriksaan Nitzanei Oz pada Khamis, mencederakan dua anggota tentera.
Briged Al-Qassam dan Briged Al-Quds mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, dengan mengatakan mereka meletupkan muatan letupan besar terhadap tentera Israel berhampiran pos pemeriksaan tersebut.
Tulkarm menjadi titik panas dalam kempen tentera yang berlangsung selama berbulan-bulan di utara Tebing Barat, di mana serbuan hampir setiap hari semakin meningkat sejak permulaan perang di Gaza.- ANADOLU










