Malaysia sokong penubuhan negara Palestin

Malaysia sokong penubuhan negara Palestin

SEORANG kanak-kanak Palestin menjamah nasi yang dimasak dengan jarinya selepas menerima hidangan dari dapur amal di Gaza City.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia menjadi sebahagian daripada 142 anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyokong Deklarasi New York bagi merealisasikan penyelesaian dua negara dan mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, sokongan Malaysia tak berbelah bahagi terhadap Palestin adalah tanda solidariti dan sokongan masyarakat antarabangsa pada Perhimpunan Agung PBB yang berlangsung semalam.

Katanya, resolusi itu telah diterima pakai dengan sokongan majoriti besar negara anggota PBB.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Komitmen kolektif dan penerimaan masyarakat antarabangsa ke atas penyelesaian dua negara dan pengiktirafan negara Palestin merupakan langkah penting ke arah menamatkan pendudukan haram Israel dan jenayah keganasan rejim Zionis Israel. 

“Ini telah mendorong Malaysia untuk membuat keputusan untuk menyokong resolusi ini,” katanya hari ini.

Menurutnya, dalam Kenyataan Negara selepas proses pengundian diadakan, Malaysia menegaskan bahawa penyelesaian dua negara dan pengiktirafan negara Palestin perlu direalisasikan tanpa sebarang pra-syarat, berdasarkan persempadanan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin. 

“Malaysia menegaskan bahawa kedaulatan dan keutuhan wilayah Palestin, dan hak pulang ke tanah air bagi jutaan pelarian Palestin, yang terjamin di bawah undang-undang antarabangsa, mesti dijadikan sebahagian daripada penyelesaian isu ini,” katanya.

Pada masa sama, Malaysia menggesa supaya kelemahan dan kekurangan Deklarasi New York ditangani sepenuhnya melalui langkah-langkah konkrit dan penetapan pelan tindakan yang melindungi dan memelihara kebebasan dan hak kenegaraan rakyat Palestin.

“Ia adalah menghormati kehendak dan aspirasi rakyat Palestin; menjamin keselamatan Palestin; dan memastikan akauntabiliti dikenakan ke atas Israel bagi pencabulan undang-undang antarabangsa, jenayah genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.

“Malaysia menegaskan bahawa deklarasi ini perlu membuka jalan untuk menamatkan peperangan dan kekejaman rejim Zionis Israel ke atas Gaza dengan serta merta, dan bencana kemanusiaan di Wilayah Palestin, dalam mencapai keamanan yang berkekalan di rantau Timur Tengah,” katanya.

Semalam, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) PBB meluluskan satu resolusi bagi menghidupkan semula penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin yang diluluskan dengan 142 undi menyokong, 10 menentang termasuk Israel dan sekutu utamanya, Amerika Syarikat (AS) serta 12 berkecuali.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN