Cubaan rentas daerah, 27 kenderaan diarah patah balik - Utusan Malaysia

Cubaan rentas daerah, 27 kenderaan diarah patah balik

KESESAKAN lalu lintas yang tular di Sabak Bernam, Selangor, petang tadi. - GAMBAR FACEBOOK WARGA SEKINCHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Cubaan 27 kenderaan untuk merentas daerah ini tidak berhasil apabila diarah berpatah balik dalam sekatan jalan raya (SJR) di sekitar Sekinchan di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd. Alias berkata, semua kenderaan itu didapati mencuba nasib untuk melepasi SJR di Kilometer 74 Jalan Klang-Teluk Intan berdekatan kawasan Tali Air 4 berkenaan.

“Polis mengarahkan semua kenderaan yang merentas tanpa kebenaran itu supaya berpatah balik.

“Tindakan itu selaras dengan arahan Ketua Polis Negara bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai kelulusan merentas daerah,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak cuba merentas daerah ini sempena sambutan Aidiladha.

“Tiada aktiviti kunjung mengunjung dari rumah ke rumah dan sentiasa kekal di rumah dalam tempoh yang diwartakan kecuali urusan kecemasan.

“Kerjasama orang ramai amat diperlukan dalam usaha mengekang penularan Covid-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Plan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.

Dalam pada itu, kata Agus Salim, kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan yang tular hari ini berpunca tindakan pemeriksaan ketat polis bagi mengelak individu merentas daerah tanpa kebenaran.

Jelas beliau, laluan yang menjadi salah satu SJR itu turut sesak kerana faktor kenderaan perdagangan yang membawa makanan asas dan individu yang terbabit dalam sektor penting.

“Kita menerima video tular itu pada pukul 1.20 petang dan ia melibatkan kesesakan di laluan berkenaan sehingga ke sebuah stesen minyak.

“Punca kesesakan itu disebabkan anggota kita membuat pemeriksaan teliti bagi mengelak orang ramai merentas daerah tanpa kebenaran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN