Covid-19: Peka cadang lima perkara - Utusan Malaysia

Covid-19: Peka cadang lima perkara

ZUHAIRI AB KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) mencadangkan lima perkara di sebalik kebimbangan jumlah kumulatif jangkitan Covid-19 negara yang menghampiri angka satu juta.

Presiden Peka, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, rakyat harus sedar tentang kepentingan vaksin dan perlu segera mendaftarkan diri untuk menerimanya.

Jelasnya, jangan mudah terpengaruh dengan golongan antivaksin yang dipelopori pihak tertentu sebaliknya rakyat perlu faham tujuan pengambilan vaksin adalah untuk mencegah jangkitan Covid-19 daripada terus mengancam kesihatan orang ramai.

“Kedua, kerajaan perlu memperhebatkan program vaksinasi kebangsaan untuk mencapai sasaran 80 peratus rakyat lengkap dua dos vaksin Covid-19.

“Ekoran kes jangkitan Covid-19 yang saban hari meningkat dan kewujudan varian membahayakan Delta, proses ini (vaksinasi) perlu cepat kerana kita perlu mencapai imuniti kelompok dengan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, 15,902 kes jangkitan baharu Covid-19 direkodkan, menjadikan kes keseluruhan bertambah kepada 996,393 menghampiri angka satu juta.

Selangor terus berada di kedudukan teratas dengan melepasi 7,000 kes, dua hari berturut-turut.

Mengikut rekod, jangkitan dicatatkan sepanjang tahun lalu 113,010 kes dengan 471 jumlah kematian.

Namun dari Januari tahun ini hingga semalam, angka jangkitan melonjak lapan kali ganda berbanding tahun lalu iaitu 883,383 kes manakala kematian 7,431 kes. Jumlah keseluruhan kematian setakat ini 7,902 kes.

Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, kerajaan perlu mempertingkatkan sanitasi ditempat awam seperti masjid-masjid, pasar raya dan pejabat kerajaan.

“Kita perlu menggunakan sanitasi canggih, satu inkubator besar yang mana semua orang perlu melalui untuk masuk ke masjid, pasar raya dan pejabat kerajaan yang menjadi tumpuan umum.

“Kita percaya dengan penggunaan alat sanitasi canggih itu, ia dapat mengawal sekali gus mengurangkan dan mengekang penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Keempat katanya, prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu menjadi keutamaan rakyat seperti kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka yang berbeza setiap hari dan mengamalkan penjarakan fizikal.

“Kelima, Peka tidak bersetuju jika sekatan perjalanan menyeluruh (total lockdown) disambung.

“Jika peringkat awal dahulu tiada masalah, tapi dalam keadaan kehidupan rakyat ibarat nyawa di hujung tanduk, kewangan teruk dan ekonomi merundum, total lockdown tidak boleh diteruskan kerana kesannya akan terus membebankan rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya