PETALING JAYA: Negara mampu keluar daripada pandemik Covid-19 dengan adanya kestabilan, kesatuan dan kerjasama semua pihak.
Berikutan itu, Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin berkata, beliau yang memegang mandat baharu akan melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin supaya keadaan pulih seperti sedia kala.
“Terima kasih Perdana Menteri atas kepercayaan melantik saya selaku Menteri Kanan Luar Negeri. Dengan pelantikan ini, saya akan mengetuai kluster keselamatan selain membantu Perdana Menteri dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara.
“Saya sedar dan insaf, dalam berdepan pandemik Covid-19, tanggungjawab dan harapan rakyat cukup besar. Insya-Allah saya akan galas tanggungjawab ini sebaiknya,” katanya.
Tambah Hishammuddin, beliau akan terus tetap pada pendirian yang hanya bekerja demi rakyat dalam apa jua jawatan dan kedudukan yang diamanahkan.
Sebelum ini, Hishammuddin merupakan Menteri Luar Negeri dan telah berkhidmat dalam kerajaan Malaysia sebagai Menteri Pertahanan Malaysia sejak 2013 hingga 2018. – UTUSAN ONLINE