Covid-19: Hilang dua ahli keluarga dalam dua minggu - Utusan Malaysia

Covid-19: Hilang dua ahli keluarga dalam dua minggu

WARIS hiba melihat jenazah ahli keluarganya yang menjadi mangsa Covid-19 dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Kelang, Selangor, hari ini. - UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Dalam tempoh dua minggu, Norazira Jamal, 37, mengikut jejak langkah ibunya, Allahyarham Sarimah Sarip, 54, yang menemui pencipta selepas kedua-duanya dijangkiti Covid-19.

Menceritakan kisah itu, sepupunya, Norhazlin Mat Keranji, 36,  memberitahu, ibu arwah dijangkiti virus berkenaan ketika membuat rawatan dialisis di sebuah pusat perubatan di Klang, 3 Julai lalu.

Selepas pulang daripada pusat tersebut, arwah Sarimah mengalami sakit cirit-birit yang teruk serta badannya begitu lemah.

“Akhirnya, arwah membawa ibunya melakukan ujian calitan pada 6 Julai lalu dan disahkan positif Covid-19 pada hari sama.

“Selepas itu, Sarimah dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan meninggal dunia sehari selepas itu,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, di sini, hari ini.

Selepas arwah ibunya meninggal dunia, Norazira melakukan ujian calitan pada hari sama dan didapati positif Covid-19 pada 8 Julai lalu.

Menurutnya, kesihatan sepupunya merosot pada 17 Julai apabila dia mengalami cirit-birit yang teruk.

“Semasa menghubunginya pada Ahad lalu, arwah mengadu dia sering kali sesak nafas namun mampu bergerak.

“Saya beritahu arwah supaya kuatkan semangat melawan virus tersebut memandangkan dia masih muda,” katanya dalam nada sedih.

Namun segala-galanya berubah pada pagi Selasa lalu apabila Norazira mengadu badannya semakin lemah dan sesak nafas sekali lagi kepada suaminya.

Kata Norhazlin, suami arwah terus membawa arwah ke HTAR pada hari sama bagi mendapat rawatan segera.

“Virus Covid-19 menyerang saluran pernafasannya begitu pantas dan akhirnya, dia meninggal dunia pada hari sama kira-kira pukul 4 petang.

“Saya amat sedih kerana Allahyarham pergi dalam tempoh masa yang begitu cepat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya