Cedera ditikam rakan serumah mabuk - Utusan Malaysia

Cedera ditikam rakan serumah mabuk

KESAN darah mangsa yang cedera di bahu dan lengan kiri akibat ditikam rakan serumah yang berada di bawah pengaruh alkohol di Forest City, Tanjung Kupang di Iskandar Puteri, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki cedera di bahagian bahu dan lengan sebelah kiri setelah ditikam rakan serumah yang mabuk menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian di Forest City, Tanjung Kupang, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian itu, polis menahan seorang lelaki warganegara China berusia 36 tahun yang berada di bawah pengaruh alkohol di rumah berkenaan.

Katanya, pihaknya menerima maklumat pada pukul 6.50 pagi daripada Polis Bantuan Forest City berhubung kejadian yang mendatangkan kecederaan terhadap lelaki warganegara China berusia 34 tahun.

Tambahnya, hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa dan suspek merupakan rakan serumah yang tinggal di kediaman itu.

“Sebelum kejadian, mangsa dan suspek berada di ruang tamu sedang minum minuman keras sebelum berlaku pertengkaran di antara mereka.

“Suspek bertindak mengambil pisau pemotong daging di dapur dan terus menikam mangsa di bahagian bahu dan lengan kiri mangsa. Mangsa kini berada di Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa berada dalam keadaan stabil setelah menerima rawatan pesakit luar di HSA.

Dzulkhairi berkata, pihak polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging berukuran 23 sentimeter yang digunakan bagi mencederakan mangsa.

Katanya, siasatan yang dijalankan mendapati mangsa tinggal berdua bersama suspek dan kedua-dua mereka ini menganggur.

“Suspek yang ditahan itu direman selama dua minggu bermula hari ini sehingga 14 Julai bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal di Malaysia setelah permit tamat atau dibatalkan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya