DUNGUN: Kerajaan memandang serius isu caj perkhidmatan tidak munasabah yang dikenakan syarikat pengendali aplikasi makanan kepada pelanggan.
Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, caj perkhidmatan antara 20 hingga 38 peratus kepada pengguna yang membuat pesanan makanan itu disifatkan membebankan.
“Kita dapati kadar yang dikenakan itu bukan untuk pengusaha makanan, sebaliknya kepada penyedia perkhidmatan.
“Bagi memastikan masyarakat tidak terus terbeban, kita akan mengadakan program advokasi bersama pihak pengusaha makanan, penyedia perkhidmatan dan pengguna sekali gus mencari pendekatan terbaik untuk mengatasi masalah ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bank makanan di dewan orang ramai Kampung Pasir Raja di sini hari ini.
Seramai 292 golongan asnaf di 12 kampung di Hulu Dungun menerima bantuan keperluan makanan menerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing.
Sementara itu, Rosol mengingatkan semua pihak agar berhenti mempolitikkan isu kempen mengibarkan bendera putih kerana inisiatif itu sepatutnya disokong bagi memastikan nasib golongan sasar dapat terus dibela.
“Apa sahaja inisiatif atau usaha yang dilakukan untuk membantu mereka yang kesempitan atau terkesan, maka kita sentiasa sokong.
“Jangan gunakan kempen ini sebagai isu politik kerana sekarang tumpuan kita adalah untuk mengatasi Covid-19 dan bukan tindakan wajar jika ada yang mengambil kredit terhadap usaha dilakukan pihak lain,” katanya.










