HULU TERENGGANU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak sesekali terancam dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang diluluskan pendaftarannya, Khamis lalu.
Sebaliknya, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Rosol Wahid berpendapat, kehadiran Pejuang bakal memantapkan lagi politik tanah air dalam situasi pada masa ini.
“Kelulusan penubuhan Pejuang bukan satu ancaman kerana parti itu lahir daripada Bersatu.
“Tiada apa yang mustahil dalam dunia politik dan mungkin Pejuang juga akan menyertai Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada pemberita selepas Program Outreach Vaksinasi di Politeknik Hulu Terengganu di sini hari ini.
Khamis lalu, Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan, pihaknya tidak sekali-kali menyokong kerajaan PN walaupun Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan Kementerian Dalam Negeri kerana meluluskan pendaftaran parti itu.
Pejuang yang diumumkan namanya secara rasmi pada 12 Ogos tahun lalu, mempunyai empat wakil dalam Dewan Rakyat dan seorang senator sahaja di Dewan Negara. – UTUSAN