KUALA LUMPUR: “Empat tahun dia dera saya.”
Demikian perkongsian pelakon, Uqasha Senrose, 33, yang mendakwa berdepan penderaan fizikal dan mental sepanjang mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Kamal Adli, 39.
Malah, Uqasha turut mendedahkan dia dipukul suami semasa mengandungkan cahaya mata sulung, Hawra Uqaira yang kini berusia hampir dua tahun.
“Saya simpan bukti, video dan gambar. Cuma saya tak sebarkan kerana tak mahu ia menjadi isu besar.
“Empat tahun saya berdepan penderaan fizikal, mental dan emosi. Ketika mengandung pun saya dipukul. Selama ini saya diamkan sahaja kerana saya mahu jaga air muka dia. Dan sebab itulah juga saya mohon berpisah secara baik,” katanya.
Uqasha dan Kamal pada semalam hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi menghadiri sesi pendengaran keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) membabitkan kes perceraiannya.
Uqasha ditemani peguam, Muhammad Syazmee Sapian dan peguam sivil, Asheeq Ali Sethi Alivi manakala Kamal hadir bersama peguamnya, Abdul Hadi Mohamad Salleh.
Asheeq dalam pada itu memaklumkan empat laporan polis telah dibuat berhubung keganasan rumah tangga yang dihadapi anak guamnya.
“Kami akan teruskan dengan tindakan sewajarnya, melalui proses polis dan mahkamah sivil. Laporan polis telah dibuat, yang terbaharu difailkan pada 12 dan 15 Disember lalu.
“Dalam laporan itu, Uqasha menceritakan semuanya termasuk dipukul suami.
“Siasatan masih dijalankan polis. Saya pula akan ambil tindakan mengikut prosedur mahkamah sivil. Pihak yang mendakwa anak guam saya berbuat fitnah diseru untuk memfailkan saman (fitnah), kemudian hantar ke pejabat saya,” katanya.
Mahkamah turut menetapkan 12 Januari 2026 sebagai tarikh lantikan dan laporan hakam keluarga selepas Kamal, dalam prosiding mahkamah semalam, enggan menceraikan Uqasha meskipun dinasihatkan mahkamah berbuat demikian.
“Mahkamah telah menetapkan berlakunya syiqaq setelah mengenal pasti perbalahan atau persengketaan berpanjangan antara suami isteri setelah menilai laporan JKP yang antara lain memperinci mengenai keganasan, isu nafkah dan pergaduhan yang berlaku dalam rumah tangga mereka.
“Mahkamah menasihatkan defendan melafazkan cerai, namun dia enggan. Asbab keengganannya melafazkan cerai secara baik pada hari ini (semalam), maka proses perceraian ini dilanjutkan kepada prosiding hakam Januari tahun depan,” jelas Muhammad Syazmee.
Uqasha pada 1 Oktober lepas memfailkan cerai di mahkamah sama atas alasan tiada persefahaman dengan suami. – UTUSAN











