MELAKA: Seorang lelaki berpura-pura ingin memberi bantuan bekalan makanan kepada suri rumah sebelum bertindak melarikan barang kemas wanita itu bernilai RM7,000 di Taman Desa Air Merbau, Jasin dekat sini, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, mangsa berusia 54 tahun itu membuat laporan polis pada pukul 10.20 malam, selepas mendakwa disamun pada pukul 11 pagi, hari sama.
Katanya, mengikut laporan, mangsa dikatakan mengenali suspek menerusi aplikasi laman sosial TikTok sejak dua minggu lalu, sebelum lelaki itu memberitahu ingin memberikan bantuan bekalan makanan.
“Suspek kemudian ke rumah mangsa kononnya ingin membawa wanita terbabit ke pasar raya bagi membeli barang keperluan dijanjikan.
“Lelaki itu bagaimanapun membuat helah masuk ke rumah mangsa sebelum bertindak melarikan barang kemas suri rumah berkenaan bernilai kira-kira RM7,000,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, polis kini sedang memburu suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Ujarnya, sepanjang awal tahun ini, pihaknya telah menerima dua laporan kejadian curi menggunakan modus operandi sama.
“Memandangkan ramai terjejas akibat pandemik Covid-19 ini, muncul individu berniat jahat yang mengambil kesempatan dengan menghubungi atau datang ke rumah mangsa berpura-pura ingin memberikan bantuan sebelum melakukan jenayah curi atau samun,” katanya.









