PUTRAJAYA: Bekas pesakit Covid-19 tidak perlu menunggu selama tiga bulan untuk menerima suntikan vaksin tetapi boleh mendaftar segera bagi mendapatkan tarikh janji temu.
Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) dalam satu kenyataan berkata, keputusan terbabit dibuat dalam persidangan 8 Julai 2021 yang memutuskan bahawa bekas pesakit Covid-19 iaitu individu yang telah pulih daripada jangkitan virus SARSCoV-2 boleh mendapatkan vaksin.
“Keputusan ini dibuat berdasarkan pendapat pakar yang dibentangkan di persidangan tersebut yang menyatakan walaupun bukti terkini menunjukkan jangkitan semula jadi virus itu menghasilkan perlindungan yang baik terhadap jangkitan semula selama sekurang-kurangnya tiga bulan, tetapi kemunculan varian baharu virus ini menyebabkan ada keperluan bagi pemberian vaksin yang lebih awal daripada tempoh ditetapkan sebelum ini.
“Atas faktor itu, bekas pesakit Covid-19 yang telah disahkan bebas daripada virus terbabit kini dibenarkan untuk divaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) menurut janji temu yang telah diberikan. Bagaimanapun, bagi pesakit Covid-19 yang mendapat antibodi monoklonal anti-SARS-CoV-2 atau convalescent plasma sebagai sebahagian daripada rawatan mereka hanya dibenarkan mendapat suntikan vaksin sekurang-kurangnya 90 hari selepas tarikh pulih dari jangkitan virus tersebut,” katanya hari ini.
Kenyataan itu juga menyebut, ia dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga yang diambil kini, sehingga terdapat maklumat tambahan, untuk mengelakkan kemungkinan gangguan terapi antibodi dengan tindak balas imun yang disebabkan oleh vaksin.
“Orang ramai yang masih menunggu keputusan ujian Covid-19 digesa untuk tidak hadir ke PPV walaupun telah mempunyai janji temu atau sebagai pengiring.
“Ini kerana mereka yang terpaksa membatalkan janji temu ini akan diberikan satu tarikh baharu secara automatik kelak,” katanya. – UTUSAN










