PUTRAJAYA: Bekalan makanan dan barang keperluan di seluruh negara tetap stabil dan mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur bermula esok hingga 16 Julai ini.
Perkara itu disahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Alexander berkata, beliau mengambil maklum bahawa pelaksanaan PKPD itu akan melibatkan penutupan hampir semua sektor ekonomi termasuk sektor perdagangan pengedaran seperti peruncitan dan pemborongan.
Beliau berkata, semua pengguna terutama Selangor dan Kuala Lumpur juga dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik dan berlebihan bagi mengelakkan gangguan bekalan di premis-premis jualan.
“Kami akan melakukan pemantauan dan penguatkuasaan setiap hari bagi memastikan keberadaan bekalan barangan keperluan asas di dua negeri berkenaan dan seluruh negara.
“Adalah menjadi harapan kementerian agar semua pihak terutama peniaga dan pengguna mengambil tanggungjawab bersama memastikan keselamatan dan kesihatan melalui kawalan kendiri,” katanya.
Pada masa sama, Alexander berkata, lapan aktiviti ekonomi dibenarkan sepanjang pelaksanaan PKPD di Selangor dan Kuala Lumpur.
“Antaranya, pasar raya, kedai farmasi, kedai serbaneka dan kedai runcit dan had pengunjung dibenarkan pula adalah satu orang bagi keluasan empat persegi setiap premis.
“Selain itu, aktiviti lain dibenarkan adalah restoran atau kedai makan, stesen minyak, kedai penjagaan haiwan dan makanan haiwan.
“Aktiviti lain seperti e-dagang bagi semua kategori produk serta pemborongan dan pengedaran bagi kategori produk perkhidmatan perlu (essential services),” katanya.
Katanya, lain-lain perincian operasi perkhidmatan perlu tertakluk kepada Jawatankuasa Keselamatan Negeri Selangor dan Jawatankuasa Penyelarasan dan Pengurusan Covid-19 (CCMC), Kuala Lumpur.










