SINTOK: Orang ramai perlu sentiasa sensitif dan mengawasi perubahan tingkah laku ahli keluarga atau rakan yang dirundung masalah terutama mereka yang menunjukkan kecenderungan untuk membunuh diri.
Profesor Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Noor Azniza Ishak berkata, setiap perubahan tingkah laku itu perlulah dianggap serius dan bukan gurauan.
“Jika diketahui seseorang yang cenderung untuk membunuh diri, ambil serius segala aduan, idea, cubaan atau cadangan untuk membunuh diri yang mungkin boleh menyelamatkan nyawanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, terdapat tiga fasa yang dikaitkan dengan perbuatan tersebut iaitu idea untuk membunuh diri, cubaan membunuh diri dan melaksanakan bunuh diri.
“Fasa-fasa ini boleh dizahirkan melalui pelbagai cara iaitu secara perkataan (verbal) dan tindakan (non-verbal).
“Maka setiap orang yang rapat perlu ‘alert’ dengan fasa-fasa ini dan menganggap semua ini adalah serius dan bukan gurauan,” ujarnya.
Menurut Noor Azniza, masyarakat juga perlu menjadi pendengar yang berkualiti terutama kepada ahli keluarga mereka. – UTUSAN ONLINE










