PETALING JAYA: “Melihat kepada komen-komen yang diberikan netizen di media sosial, saya dapati ramai yang menyuarakan keluhan pasangan jarak jauh atau ibu bapa yang terpisah dari anak-anak kerana larangan merentas negeri”.
Demikian jelas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi penegasan kerajaan sedang memperhalusi cadangan bagi membolehkan pasangan dan keluarga jarak jauh dapat disatukan semula.
Malah jelasnya, sebagai seorang bapa, saya sedar betapa pentingnya institusi kekeluargaan itu kepada manusia.
“Walaupun atas faktor keselamatan, ibu atau bapa tidak sepatutnya terpaksa berpisah dengan anak-anak dalam tempoh yang terlalu lama. Lebih-lebih lagi jika ibu bapa berkenaan sudah pun menerima dua dos vaksin.
“Oleh sebab itu saya sering membawa isu ini dalam mesyuarat MKN (Majlis Keselamatan Negara), supaya kelonggaran bertemu keluarga dapat dipertimbangkan bagi mereka yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan memutuskan kelonggaran bagi individu yang lengkap dua dos vaksin pada mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Beliau berkata, keputusan tersebut akan mengambil kira kriteria-kriteria kelonggaran yang akan diberikan kepada kumpulan tersebut.
Jelas beliau, ia kemungkinan termasuk mempertimbangkan kebenaran merentas daerah.
Untuk itu ramai yang memberikan komen dan menunggu apakah keputusan mesyuarat MPN yang sepatutnya minggu ini.