KUANTAN: Sasaran global 30×30 untuk melindungi sekurang-kurangnya 30 peratus ekosistem daratan, air pendalaman dan marin menjelang 2030 perlu menjadi fokus utama tadbir urus Tasik Chini Rizab Biosfera (TCRB).
Profesor Kehormat Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC), Pusat Pengurusan Makmal Alami dan Fizikal (ALAF) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Seri Mushrifah Idris berkata, perbincangan di sesi-sesi utama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dengan badan-badan agensi lain seperti United Nation Development Program (UNDP) dan International Union for Conservation of Nature (IUCN) banyak mencetuskan tentang sasaran 30×30.
“Sasaran 30 hingga 30 adalah matlamat pemuliharaan global di bawah Rangka Kerja Kepelbagaian Biologi Global Kunming-Montreal untuk melindungi sekurang-kurangnya 30 peratus ekosistem kawasan daratan, air pendalaman dan marin dan pantai menjelang tahun 2030.
“Ini setimpal dengan hasrat Pengisytiharan Hangzhou (Hangzhou Declaration), Sasaran Tindakan Program manusia dan biosfera (MAB) dan Rangkaian Rizab Biosfera Dunia (WNBR) untuk 2026–2035, yang mengalu-alukan agenda pembangunan mampan, memperkukuhkan sumber-sumber manusia dan kewangan, membangunkan penyelidikan dan memudahkan kehidupan harmon dengan alam semulajadi.
“Dengan adanya pengiktirafan dari kerajaan negeri Pahang, zon-zon di TCRB akan dimanfaatkan sebagai zon utama, yang mana kawasan zon ini akan dipelihara sebagai zon pemuliharaan biodiversiti yang sudah diwawarkan dalam fungsi-fungsi enakmen 2021. Zon ini boleh memainkan peranan terpenting dalam pemuliharaan dan pemeliharaan. Moga, TCRB akan diberikan nafas baru menerajui sasaran 30×30,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Mushrifah berkata, tiba masanya TCRB yang merupakan pelopor Tapak Rizab Biosfera pertama negara menjadi contoh kepada biosfera lain daripada segi pemuliharaan dan tadbir urus.
“Zon penampan dan zon peralihan di TCRB merupakan kawasan berpotensi kepada sektor pelancongan dan meningkatkan pulangan ekonomi. Kajian di tapak Rizab Biosfera di Jerman menunjukan di kawasan terlindung, potensi ekonomi pelancongan berkait rapat dengan pengiktirafan dan pemeliharaan perkhidmatan ekosistem dalam kawasan terlindung.
“Menghargai alam semulajadi dan kawasan yang dilindungi dapat membangkitkan kesedaran umum dan menyokong usaha pemuliharaan secara global. Tadbir urus serantau seperti Perbadanan Taman Negeri Pahang (PTNP) boleh memainkan peranan penting dalam pengurusan kawasan terlindung seperti TCRB ini.
“Hala tuju tadbir urus TCRB oleh pihak PTNP dilihat menuju ke arah Pengisytiharan Hangzhou. Langkah-langkah jangka masa panjang untuk mengekalkan keseimbangan ekosistem di Tasik Chini dikukuhkan dengan kelulusan rancangan pembangunan kawasan khas (RKK) Tasik Chini pada April 2016,” katanya
Menurutnya, TCRB dijangka dinilai semula pada 2029 bagi tempoh 20 tahun sebagai WNBR.
“Keyakinan tinggi diberikan bahawa dengan kesungguhan tadbir urus, perancangan mampan dan penyelidikan berterusan, TCRB akan terus mengukuhkan statusnya sebagai tapak biosfera unggul yang menyumbang kepada pencapaian sasaran global 30×30,” katanya. – UTUSAN










