PETALING JAYA: Sikap hipokrit Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas terserlah di sebalik sokongan yang ditunjukkan terhadap institusi Raja-Raja Melayu, kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Beliau berkata, ini kerana Anwar dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) lain sebelum ini dilihat tidak serius apabila ada kalangan mereka yang menghina institusi Raja-Raja Melayu.
Katanya, ini jelas apabila Anwar dan pemimpin PKR lain hanya menegur ahli parti itu, Iswardy Morni yang begitu biadab menghina Yang dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah beberapa bulan lalu.
“Malahan ada juga mereka mempertahan individu yang jelas biadab terhadap Seri Paduka Justeru, ini menyerlahkan hipokrasi mereka. Sejak bila pula mereka ini betul-betul mempertahan institusi Raja-Raja Melayu ?
“Ini mencerminkan karakter sebenar Anwar dan anak-anak muridnya. Menyokong hanya ketika ia menguntungkan agenda diri sendiri dan senyap membiarkan macai menghina bila nampak tiada faedah,” katanya dalam satu kenyataan di semalam.
Dalam pada itu, Wan Saiful mendakwa sokongan Anwar kepada Agong hanya bermotifkan politik semata-mata untuk merampas kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Saya syak Anwar dan anak-anak muridnya begitu galak menyokong kali ini kerana sudah tidak sabar untuk menyambung usaha menggugat kestabilan negara demi untuk merampas kerajaan.
“Walaupun Agong dan rakyat mahukan semua pihak berhenti berpolitik sementara negara berperang dengan pandemik Covid-19, Anwar dan muridnya masih rakus ingin merampas kuasa,” ujarnya.
Wan Saiful turut menimbulkan persoalan berkenaan jaminan dan komitmen Anwar serta anak muridnya bahawa sidang Parlimen yang akan diadakan itu hanya untuk membincangkan isu rakyat dan bukan untuk mengejar impian politik peribadi semata-mata.
“Kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa terbuka menerima pandangan berbeza daripada pelbagai pihak untuk kebaikan bersama. Adakah Anwar sanggup beri jaminan bahawa segala rencana politik peribadi akan dihentikan?”,” soalnya. – UTUSAN ONLINE