SEREMBAN: Sebuah kenderaan ambulans yang dinaiki tiga petugas kesihatan yang ditemukan tidak sedarkan diri ketika tiba di Hospital Port Dickson, dihantar ke Jabatan Kerja Raya (JKR).
Pengarah Kesihatan negeri, Negeri Sembilan, Datin Dr. Harlina Abdul Rashid berkata, langkah tersebut adalah bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
“Bagi mengenal pasti punca kejadian, pasukan Hazmat Negeri Sembilan menjalankan siasatan dan tidak menolak kemungkinan terdapat kebocoran gas di dalam ambulan.
“Susulan daripada itu, kenderaan ambulan tersebut tidak dibenarkan beroperasi serta merta dan dihantar ke JKR bagi siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Utusan Online hari ini melaporkan, tiga petugas Klinik Kesihatan Bukit Pelandok, Chuah dekat sini yang tidak sedarkan diri ketika dibawa ke Hospital Port Dickson disahkan keracunan gas karbon monoksida di dalam ruang kabin ambulans yang dinaiki mereka.
Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Negeri Sembilan, Timbalan Penguasa Bomba, Mohammad Idris berkata, gas tersebut dikesan pihaknya dalam pemeriksaan dan ujian secara statik dan perjalanan terhadap ambulans tersebut.
Sementara itu, Dr. Harlina menjelaskan, ketiga-tiga orang petugas kesihatan tersebut terdiri daripada seorang pegawai perubatan dan dua orang penolong pegawai perubatan.
Jelas beliau, ketiga-tiga mereka telah menghantar seorang pesakit yang juga rakan sekerja mereka ke Hospital Port Dickson kerana mengadu sakit dada pada pukul 8.30 pagi.
Tambahnya, pesakit tersebut disyaki mendapat serangan jantung dan berada di dalam keadaan kritikal pada masa kejadian.
“Apabila tiba di Hospital Port Dickson, di dapati ketiga-tiga petugas kesihatan tersebut berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Bantuan dan rawatan segera telah diberikan kepada semua mangsa.
“Semua petugas kesihatan yang terlibat kini berada dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Port Dickson. Bagaimanapun, pesakit yang dihantar telah meninggal dunia dan pihak jabatan sedang menunggu laporan penuh ‘post mortem’ bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya lagi.
Sementara itu, tambah beliau, bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kecemasan Klinik Kesihatan Bukit Pelandok, perkhidmatan itu akan diberikan oleh klinik kesihatan berhampiran dan juga Hospital Port Dickson. – UTUSAN ONLINE










