PETALING JAYA: Sebahagian pemimpin UMNO dipercayai sudah mula berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) sejak tengah hari tadi.
Difahamkan, mereka dipanggil Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung tempoh 14 hari yang ditetapkan Biro Politik UMNO sebelum ini supaya kerajaan memanggil Parlimen untuk bersidang dalam tempoh tersebut.
Susulan daripada itu, sumber yang layak dipercayai memberitahu Utusan Malaysia, Ahmad Zahid akan mengadakan pertemuan dengan ahli Parlimen UMNO malam ini.
Kelihatan berada di WTC waktu ini ialah ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Razali Ibrahim dan bekas Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pada 21 Jun lalu, UMNO mendesak kerajaan untuk memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.
Ahmad Zahid berkata, ia susulan pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu supaya sidang berkenaan diadakan secepat mungkin.
Bagaimanapun Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerajaan bersetuju menasihati Agong supaya sidang Parlimen diadakan selama lima hari mulai 26 Julai ini bagi Dewan Rakyat.
Tempoh mesyuarat bagi Dewan Rakyat itu berlangsung dari 26 Julai hingga 29 Julai dan 2 Ogos.
Bagi Dewan Negara pula akan berlangsung tiga hari mulai 3 hingga 5 Ogos depan. – UTUSAN ONLINE