KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima sebanyak RM2.086 juta sumbangan bersempena perayaan Aidilfitri tahun ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah tersebut merangkumi bantuan kewangan iaitu RM1.8 juta, manakala sumbangan yang diterima dalam bentuk barangan pula bernilai RM254,0000.
Katanya, semua sumbangan tersebut akan diagihkan kepada anggota ATM yang akan bertugas di perbatasan bersempena Aidilfitri nanti.
“Sumbangan bukan sekadar pemberian material, tetapi simbol penghargaan dan pengiktirafan. Ia satu manifestasi rasa terima kasih daripada rakyat, badan korporat dan kerajaan.
“Malah ia juga satu bentuk solidariti nasional yang mencerminkan sokongan padu masyarakat sivil terhadap pasukan keselamatan dan secara tidak langsung memperkukuh jati diri anggota tentera,” katanya hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Tahun 1447H/2026M. – UTUSAN











