PETALING JAYA: “Saya tidak akan kembali kepada UMNO.”
Demikian kata Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir sambil menegaskan beliau akan tetap bersama Pejuang dan tidak akan kembali ke UMNO.
“Saya rasa UMNO sudah terlalu jauh berubah. Ia sama sekali tidak seperti UMNO yang kita kenal dahulu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat MUDA semalam.
Mukhriz berkata, perjuangan UMNO sudah jauh tersasar daripada perjuangan asal, kini Pejuang bertanggungjawab memperjuangkan agenda asal UMNO.
“Ramai daripada kami asalnya daripada UMNO kemudian kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pejuang. Jadi kami telah ditapis dua kali.
“Ahli-ahli dalam Pejuang adalah pejuang tegar, yang masih memperjuangkan perjuangan asal UMNO sehingga hari ini,” katanya.
Tambahnya, beliau turut menerima beberapa jemputan daripada parti-parti Melayu untuk menyokong sepenuhnya hasrat menyatukan politik Melayu.
“Ada. Sebab kami menjadi anggota dalam Proklamasi Orang Melayu (POM), iaitu payung besar orang Melayu yang diketuai oleh Ayahanda Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“Di situ kami memang berpeluang untuk jumpa dengan parti-parti yang lain. Sebelum ini pun di bawah Gerakkan Tanah Air (GTA) kami sentiasa berbincang dalam hal itu dan kami sangat terbuka.
“Kami sangat menyokong penuh hasrat untuk menyatukan politik Melayu. Cumanya di pandangan Pejuang, ada satu syarat. Syarat itu adalah perpaduan Melayu itu mestilah ada integriti dan kita bermasalah sikit kalau hendak suruh bersatu dengan ‘penyamun’,” katanya. – UTUSAN










