KOTA BHARU: Eksport komoditi negara boleh terjejas sekiranya konflik Asia Barat melibatkan perang antara Amerika Syarikat-Israel dengan Iran berlarutan sehingga hujung suku tahun ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, walaupun belum merasai kesan ketara, kerajaan berharap ia dapat diselesaikan segera supaya aktiviti perdagangan di Asia Barat dapat kembali berjalan seperti biasa.
Katanya, setakat ini semua kapal dagang membawa barangan eksport komoditi dari Malaysia tidak dapat memasuki kawasan-kawasan Asia Barat berikutan penutupan Teluk Hormuz yang merupakan laluan masuk kapal-kapal ke kawasan berkenaan.
“Buat masa ini kita belum ada maklumat mengenai berapa banyak kapal dagang dari Malaysia yang tersangkut dan tidak boleh memasuki Terusan Hormuz. Biasanya maklumat berkenaan dihantar oleh pemain-pemain industri kepada kementerian.
“Antara barangan komoditi negara yang tidak dapat memasuki Asia Barat pada ketika adalah barangan berasaskan kayu seperti perabot, minyak sawit dan barangan berasaskan sawit,” katanya mengulas kesan konflik Asia Barat terhadap perdagangan komoditi negara semasa menyantuni pelajar-pelajar Maahad Tahfiz Quran Al-Iman di Ketereh, di sini, hari ini.
Noraini berkata, setakat ini eksport komoditi negara belum merasai kesan besar daripada situasi perang di Asia Barat dan pemain-pemain industri hanya perlu membuat sedikit penambahan kos.
Katanya, antara faktor yang membantu kestabilan eksport komoditi negara adalah kerana Malaysia mempunyai hubungan dagang dengan banyak negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS), negara-negara Asia Barat dan Eropah.
“Kalau diikutkan dari segi barangan (eksport komoditi) seperti perabot dan sebagainya, (pemain-pemain industri) hanya memerlukan sedikit penambahan dari segi kos logistik dan insurans jika mahu ke kawasan perang atau bergolak.
“Setakat ini, itu sahaja cabaran yang perlu dilalui pengeksport-pengeksport komoditi dari Malaysia jika mahu melalui kawasan seperti Selat Hormuz dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN











